IQNA

15 mubaligh AS dan keluarga diculik di Haiti

8:00 - October 19, 2021
Berita ID: 3100300
TEHRAN (IQNA) - Sekurang-kurangnya 15 mubaligh dari Amerika Syarikat (AS) dan ahli keluarga mereka disyaki diculik semalam oleh sekumpulan penjenayah di luar ibu kota Haiti, menurut sumber pihak keselamatan tempatan.

Menurut sumber, kumpulan itu termasuk kanak-kanak ditahan penjenayah bersenjata yang melakukan kegiatan mencuri dan menculik sejak beberapa bulan lalu di kawasan antara Port-au-Prince dan sempadan Republik Dominika.

Jurucakap kerajaan AS yang dihubungi bagaimanapun enggan memberikan sebarang maklumat berhubung insiden itu. Menurut wakil kerajaan, keselamatan dan kebajikan rakyat AS yang berada di luar menjadi keutamaan Jabatan Negara.

"Kami menyedari mengenai kejadian ini namun tiada maklumat boleh disalurkan buat masa ini," katanya.

Kumpulan bersenjata yang bertahun-tahun mengawal beberapa daerah termiskin di Haiti kini meluaskan kegiatan jenayah mereka di bahagian lain di Port-au-Prince.

Berdasarkan Pusat Analisis dan Penyelidikan Hak Asasi Manusia, lebih 600 individu diculik dalam tempoh tiga suku pertama tahun ini, berbanding 231 pada tempoh masa tahun lalu.

Sejak beberapa tahun lalu, krisis ekonomi dan politik melumpuhkan Haiti dan ia semakin meruncing dengan pembunuhan Presiden Jovenel Moise, Julai lalu.

bharian.com

captcha